Tuesday 18 March 2014

Kitab Sri Ramakrishna : TUHAN DAN DUNIA



Ahad, 9 April 1882 

Sri Ramakrishna berkata: “Tuhan dan keagungan-Nya. Alam semesta ini adalah keagungan-Nya. Orang melihat keagungan-Nya dan melupakan segala-galanya. Mereka tidak mencari Tuhan yang mencipta dunia ini. Semua orang mahu keseronokan daripada ‘perempuan dan emas’. ‘Perempuan dan emas’ juga memberikan penderitaan dan kesusahan. Dunia ini adalah bagai pusaran air Visalakshi. Sekali sebuah bot memasukinya, tiada harapan untuk menyelamatkannya. Dunia ini juga adalah seperti rumpun berduri. Sebaik sahaja kamu melepaskan diri daripada satu bahagian berduri, kamu tersangkut pada bahagian yang lain. Sekali kamu memasuki satu rangkaian berselirat, memang payah untuk keluar semula. Seorang manusia hidup di dunia ini bagai terkena lecur.”

Seorang pengikut bertanya: “Jadi, apakah jalannya, tuan?”

Sri Ramakrishna: “Doa dan pergaulan dengan orang alim! Kamu tidak akan sembuh daripada sesuatu penyakit tanpa bantuan seorang dukun. Setakat tinggal bersama-sama orang alim hanya untuk sehari tidak cukup. Kamu patut sentiasa mendampinginya kerana penyakit telah merosot. Kamu tidak dapat membaca nadi dengan betul kecuali kamu tinggal dengan seorang dukun. Hanya dengan mendampinginya selalu, kamu belajar untuk membezakan antara nadi lendir dan nadi hempedu.”  

Monday 17 March 2014

Kitab Sri Ramakrishna : EMPAT JENIS MANUSIA


EMPAT JENIS MANUSIA


Sri Ramakrishna berkata: 

"Manusia boleh dibahagikan kepada empat kategori – orang yang terikat dengan ikatan keduniaan, orang yang mencari kebebasan daripada ikatan keduniaan, orang yang telah bebas daripada ikatan keduniaan dan orang yang sentiasa bebas.

Di kalangan orang yang kekal bebas adalah seperti Narada. Mereka tidak pernah terjerumus dalam ikatan keduniaan. Mereka hanya hidup di dunia ini demi kebaikan orang lain dan untuk mengajar manusia pengetahuan keagamaan.

Orang yang berada dalam ikatan keduniaan adalah orang yang telah terjerumus dalam keduniaan dan telah melupakan kewujudan Tuhan. Walaupun secara silap, mereka tidak akan berfikir mengenai Tuhan.

Orang yang mencari kebebasan daripada ikatan keduniaan pula hendak melepaskan diri daripada belenggu ini. Ada dalam kalangan mereka yang berjaya mendapat kebebasan dan ada yang tidak berjaya.

Orang yang telah bebas pula adalah seperti orang-orang alim. Mereka tidak terikat dengan dunia ini iaitu dengan ‘perempuan dan emas’. Mereka telah bebas daripada keduniaan. Mereka juga sentiasa ingat pada Tuhan.


 
Katakan nelayan memasang jala di sebuah tasik untuk menangkap ikan. Ikan-ikan yang cerdik tidak pernah terjerat dalam jala itu. Mereka ialah seperti orang yang kekal bebas. Tetapi kebanyakan ikan akan terperangkap. Ada yang cuba untuk melepaskan diri daripada jala seperti orang yang cuba untuk mendapatkan kebebasan. Bukan semua yang berusaha itu akan bebas. Hanya beberapa ekor ikan sahaja yang akan berjaya melompat keluar daripada jala. Melihat mereka, nelayan akan berkata: ‘Tengok, yang itu telah bebas’. Kebanyakan ikan yang kena tangkap, tidak boleh melepaskan diri atau mereka tidak cuba untuk keluar. Sebaliknya, ada yang akan memasukan kepala ke dalam lubuk lumpur dan dengan senyap mereka berfikir, ‘Kita tidak perlu takut lagi. Kita selamat di sini.' Malangnya, ia tidak tahu nelayan akan menariknya keluar bersama-sama dengan jala. Ikan-ikan ini ialah seperti orang yang terikat dengan keduniaan.

Jiwa yang terikat adalah dibelenggui keduniaan iaitu ‘perempuan dan emas’ seperti orang yang kedua-dua tangan dan kakinya diikat. Dengan berfikir bahawa ‘perempuan dan emas’ akan memberi kegembiraan dan keselamatan, manusia tidak sedar bahawa ia akan membawa kemusnahan. Manusia yang terikat dengan keduniaan, akan ditanya oleh isterinya sebelum dia mati, ‘Kamu nak pergi, tapi apa yang kamu tingalkan untuk saya?’ Ikatan keduniaannya adalah begitu kuat sehingga walaupun ketika menghembuskan nafas akhir, melihat pelita yang menyala, dia akan berkata, ‘Malapkan pelita. Terlalu banyak minyak digunakan.’ Pada ketika itu, dia terlantar diatas katil menunggu maut!

Jiwa yang terikat, tidak berfikir mengenai Tuhan. Jika mereka ada masa lapang, mereka akan berborak kosong, bergosip dan membuat kerja yang tidak berguna. Jika kamu menyoal tindakannya, dia akan menjawap, ‘Oh saya tidak boleh berdiam diri. Jadi saya sedang mendirikan pagar.’ Jika mempunyai banyak masa lapang, mereka akan mula bermain daun terup." 

Sunday 9 February 2014

Kitab Sri Ramakrishna:

Kitab Sri Ramakrishna: APAKAH ITU BRAHMAN?




SRI RAMAKRISHNA: “Brahman berada di luar Vidya dan Avidya, iaitu Ilmu dan kekhilafan. Ia adalah di luar Maya, ilusi keduaan. 

“Dunia ia mengandungi ilusi keduaan Ilmu dan kekhilafan. Ia mengandungi ilmu dan iman, dan juga ikatan kepada ‘perempuan dan emas’; yang bermoral dan tidak bermoral, baik dan jahat. Tetapi Brahman adalah tidak terikat dengan semua perbezaan ini. Kebaikan dan kejahatan hanya melibatkan jiwa individu., Begitu juga sifat moral dan sifat tidak bermoral. Namun Brahman adalah langsung tidak terjejas dengan semua sifat keduaan ini.

“Seseorang mungkin membaca Bhagavata dengan menggunakan cahaya pelita, dan seorang lagi mungkin melakukan pemalsuan dengan menggunakan cahaya yang sama. Perbuatan mereka tidak menjejaskan pelita. Matahari memancarkan cahayanya di semua tempat, ke atas orang yang jahat dan juga orang yang baik.

“Kamu mungkin bertanya, ‘Jika begitu, bagaimana kesengsaraan, dosa, dan duka boleh dijelaskan?’ Jawapannya adalah, semua ini berlaku ke atas jiwa sahaja. Brahman tidak disentuh oleh perkara begitu. Terdapat bisa di dalam ular. Walaupun hidupan lain boleh mati jika dipatuk ular, ular sendiri tidak dijejaskan oleh bisanya. 

“Brahman tidak boleh dijelaskan. Semua benda di dunia ini – kitab Veda, Purana, Tantra, dan enam sistem falsafah – telah dicemari, seperti makanan yang dirasai oleh lidah, kerana kitab-kitab suci ini telah disebut, dibaca oleh mulut manusia. Hanya satu sahaja yang belum dicemari begini, dan itulah Brahman. Tiada sesiapa pun yang dapat mengatakan sehingga kini, apakah itu ‘Brahman’.”

Monday 2 December 2013

Mutiara Kata Sri Ramakrishna


Mutiara Kata Sri Ramakrishna
  • Tuhan boleh dilihat. Dengan mengamalkan disiplin rohani, seseorang boleh melihat Tuhan melalui rahmat-Nya.
  • Ulangi nama-Nya, dan segala dosa kamu akan terhapus. Dengan ini kamu akan menghapuskan nafsu, kemarahan, keinginan untuk keselesaan diri, dan sebagainya.
  • Apabila kamu menyuap anakmu, kamu patut merasakan bahawa kamu sedang menyuap Tuhan. Kamu patut melihat ibu bapamu sebagai penjelmaan Tuhan dan menjaga mereka seperti itu.
  • Panggillah Tuhan, menangis kepada-Nya secara rahsia, secara bersendirian. Dia akan memberi semua yang kamu perlu.
  • Sama ada kamu hidup di dunia ini atau di tempat lain, sentiasa tetapkan mindamu pada Tuhan. Minda yang terjerumus dalam keduniaan boleh dibandingkan dengan sebatang mancis yang basah. Kamu tidak akan dapat percikan api, tidak kira berapa kali kamu menggosoknya.
  • Tuhan yang sebenarnya bertindak melalui kita. Dia adalah Pembuat, tidak syak, dan manusia adalah peralatan-Nya. Tetapi ia juga benar setiap tindakan akan pasti membawa natijahnya. Perut akan pedih jika kamu makan cili yang pedas. Jika kamu melakukan dosa, kamu mesti menanggung padahnya. Tetapi orang yang telah menjadi sempurna, yang telah menyedari Tuhan, tidak boleh melakukan dosa. Seorang penyanyi yang mahir tidak boleh menyanyi nota yang salah. Seorang penyanyi terlatih menyanyi dengan betul nota: sa, re, ga, ma, pa, dha, ni.
  • Katakan seorang menjadi suci dengan mengulangi nama suci Tuhan, tetapi selepas itu melakukan banyak dosa. Dia tidak mempunyai kekuatan minda. Dia tidak bersumpah untuk tidak mengulangi perbuatan dosanya. Bermandi di sungai Ganges sesungguhnya akan membersihkan semua dosa seseorang; tetapi apakah gunanya? Dikatakan bahawa dosa akan duduk di atas pokok-pokok ditebing Ganges, sebaik sahaja seorang keluar dari sungai itu, dosa-dosa lamanya akan melompat kembali ke atas bahunya. Dosa yang sama akan menguasainya lagi. Dia tidakpun jauh dari sungai itu, apabila dosa lama kembali kepadanya.
  • Nitya dan Lila adalah dua aspek Realiti. Tuhan bermain di dunia sebagai manusia demi para pemuja-Nya. Mereka boleh menyayangi Tuhan hanya jika mereka dapat melihat-Nya dalam rupa manusia; barulah mereka dapat menunjukkan kasih sayang mereka untuk-Nya sebagai Abang, Kakak, Bapa, Ibu, atau Anak. 
  • Bagi orang-orang yang tertarik pada objek-objek deria, perkara yang terbaik adalah untuk memupuk sikap dualistik dan menyanyikan dengan kuat 'nama' Tuhan seperti yang disebut dalam Narada Pancharatra.
  • Kamu akan maju dalam apa sahaja cara kamu bermeditasi ke atas-Nya atau mengulangi nama suci-Nya. Kek yang diperbuat dengan gula batu akan berasa manis, tidak kira kamu memegangnya secara tegak atau serong ketika memakannya.
  • Manusia menderita kerana ketidakpercayaan kepada Tuhan.